PRK Balakong: Pemansuhan Tol Berperingkat Ibarat Menipu Rakyat

BALAKONG, 30 Ogos – Calon MCA Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong mendakwa kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir kelmarin mengenai pemansuhan tol berperingkat ibarat ‘menipu’ rakyat.

Beliau berkata kenyataan Mohd Anuar ketika membantu kempen calon Pakatan Harapan, Wong Siew Ki kelmarin hanya bermatlamat untuk menghasilkan kemenangan kepada jentera berkenaan.

“Kenyataannya (Mohd Anuar) juga bercanggah dengan apa yang diperkatakan Menteri Kerja Raya Baru Bian pada 13 Ogos lepas bahawa keadaan kewangan negara tidak mampu membayar pampasan (kepada syarikat konsesi) untuk menghapuskan tol.

“Malah menteri juga berkata kerajaan belum buat kajian mengenai pemansuhan tol maka tiada sebarang keputusan dibuat. Jadi, siapa yang menipu di sini? Kami kesal kerana untuk menang, nilai integriti sanggup dikorbankan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pada Selasa lepas, Mohd Anuar menyatakan kerajaan perlu mencari keputusan ‘menang-menang’ dengan syarikat konsesi sebelum mengurangkan tol secara berperingkat.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keengganannya menerima pelawaan Wong untuk berdebat isu pemansuhan tol, Tan berpendirian bahawa pihaknya melihat aktiviti menyantuni rakyat sepanjang tempoh berkempen adalah lebih penting.

“Tidak mahu (terima pelawaan) bukan bermaksud saya tidak berani tetapi sekarang saya mahu dengar suara rakyat dan jika diberi mandat (sebagai wakil rakyat), saya akan bawa suara-suara ini ke dalam persidangan dewan untuk diberi perhatian,” katanya.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan penyandangnya Eddie Ng Tien Chie, maut dalam kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mendiang Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.