Pengumuman Calon BN Bukti Kesediaan Pimpin Johor Dengan Barisan Pelapis Berkualiti

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pengumuman calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan parti itu terus memiliki kekuatan dalam melahirkan pelapis kepimpinan yang mampu meneruskan kesinambungan perjuangan serta pentadbiran negeri.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, senarai calon yang diumumkan memperlihatkan gabungan seimbang antara muka baharu dan pemimpin berpengalaman, sekali gus mencerminkan kematangan serta kestabilan organisasi BN.

Menurut beliau, kekuatan sesebuah parti politik tidak seharusnya bergantung kepada seorang atau dua tokoh semata-mata, sebaliknya terletak pada keupayaan parti melahirkan barisan pelapis secara berterusan tanpa mengabaikan pengalaman dan kestabilan pentadbiran.

“Pengumuman calon BN kali ini bukan sekadar memperkenalkan individu yang akan bertanding, tetapi turut menggambarkan kekuatan organisasi, kematangan parti dan kesediaan BN untuk terus memimpin Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, rakyat hari ini mahukan lebih daripada sekadar slogan dan retorik politik. Sebaliknya, mereka mengharapkan kepimpinan yang berpengalaman, pasukan yang mantap serta hala tuju yang jelas bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan negeri dapat diteruskan.

Katanya lagi, mesej yang dibawa melalui pengumuman calon-calon BN jelas menunjukkan parti itu mempunyai perancangan kepimpinan yang tersusun dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Calon boleh bertukar, tetapi parti yang mempunyai pelapis, pengalaman dan kestabilan akan terus memimpin,” katanya.

Beliau yakin gabungan pengalaman dan pembaharuan yang ditampilkan BN mampu memberikan keyakinan kepada rakyat untuk terus menyokong agenda pembangunan serta kestabilan politik di Johor.

DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun 2026 bagi memberi laluan kepada PRN Johor ke-16, dengan penamaan calon pada 27 Jun, pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO