Onn Hafiz Nafi Dakwaan Istana Arah Bubar DUN Johor, UMNO Johor Akan Buat Laporan Polis

JOHOR BAHRU, 25 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau pernah memaklumkan kononnya pihak Istana telah mengarahkan pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN).

Menurut Onn Hafiz, apa yang dijelaskan kepada Puad adalah pembubaran DUN Johor dibuat selepas mendapat titah perkenan daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Beliau menegaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN sesuka hati kerana proses tersebut perlu melalui saluran yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan pihak berkuasa diraja.

“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka. Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Onn Hafiz berkata adalah tidak bertanggungjawab untuk memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga mewujudkan persepsi bahawa Institusi Diraja mencampuri urusan serta keputusan politik UMNO Johor.

Beliau berkata setiap individu berhak meninggalkan UMNO dan mempunyai pandangan berbeza terhadap kepimpinan parti, namun kenyataan yang menyentuh Institusi Diraja merupakan perkara serius yang berpotensi menimbulkan sensitiviti berkaitan isu 3R (agama, kaum dan raja), selain boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
Dalam masa sama, Onn Hafiz menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik.

“Saya menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO