UMNO Bukan Parti Warisan Anak-Beranak – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa UMNO bukan sebuah parti yang mengamalkan budaya warisan keluarga atau mengutamakan kepentingan anak-beranak dalam pemilihan calon pilihan raya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengumumkan keluar daripada UMNO serta-merta pada Khamis.

Menurut Dr Asyraf Wajdi, beliau menghormati keputusan tersebut sebagai hak demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan dan mendoakan agar Mohd Puad terus berjaya pada masa hadapan.

“Namun, saya amat kesal dengan kenyataan berbaur fitnah beliau yang memberikan alasan utama keluar parti dengan mengaitkan kononnya kerana Istana mengawal UMNO Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu.

“Sedangkan beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya Kepimpinan Tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon di DUN Rengit,” katanya.

Beliau mengakui anak Mohd Puad mempunyai potensi sebagai pemimpin muda, namun menegaskan bahawa pemilihan calon pilihan raya perlu mengambil kira pelbagai faktor dan tidak boleh dibuat berdasarkan hubungan kekeluargaan semata-mata.

“Tidak wajar bagi seorang pemimpin berpengalaman mengugut parti dengan mensyaratkan anaknya mesti menjadi calon menggantikan tempat beliau. Jika tidak dipenuhi, beliau mahu keluar parti dan menghentam parti.”

Dr Asyraf Wajdi turut mendakwa bahawa ini bukan kali pertama Mohd Puad mengugut untuk meninggalkan UMNO apabila kehendaknya tidak dipenuhi.

Jelasnya, perkara sama pernah berlaku ketika era kepimpinan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak, apabila Mohd Puad didakwa mengugut keluar parti sekiranya tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa UMNO tidak boleh tunduk kepada tekanan mana-mana individu dan perlu terus mempertahankan prinsip perjuangan parti.

“Cukup-cukuplah UMNO ini diugut sedemikian rupa. UMNO bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan UMNO adalah lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu, serta mengingatkan bahawa parti telah banyak memberi peluang kepada pemimpin untuk berkhidmat dan membina nama dalam arena politik.

“Perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu. Parti ini telah banyak berjasa, mengangkat dan memberi ruang kepada ramai pemimpin untuk berkhidmat serta membina nama.

“Maka amat tidak wajar, setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi. Bak kata pepatah Melayu, “air susu dibalas air tuba”, jasa dibalas dengan cerca, budi dibalas dengan ugutan.

“UMNO mesti terus berdiri sebagai parti perjuangan bangsa, agama dan tanah air, bukan tunduk kepada tekanan mana-mana individu,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO