PRN Johor: Laporan Polis Dibuat Berhubung Dakwaan Campur Tangan Istana

JOHOR BAHRU, 25 Jun – Satu laporan polis telah dibuat bagi menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Datuk Dr Puad Zarkashi, berhubung tuduhan kononnya institusi diraja campur tangan dalam menentukan hala tuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim berkata, sebagai rakyat Johor yang menjunjung tinggi kedaulatan Raja Berperlembagaan, sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat, menimbulkan persepsi negatif atau mengaitkan institusi diraja dengan kepentingan politik kepartian perlu dipandang serius.

Menurut beliau, institusi diraja Johor sentiasa menjadi payung penyatuan rakyat serta berperanan mengikut lunas Perlembagaan dan adat pemerintahan negeri yang telah sekian lama dihormati.

“Sebarang tafsiran atau tuduhan yang boleh mencemarkan kewibawaan serta kebijaksanaan institusi diraja wajar disiasat agar tidak menimbulkan kekeliruan dan ketegangan dalam kalangan rakyat,” katanyamenerusi hantaran di laman Facebooknya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Segamat, hari ini.

Norshida menegaskan bahawa laporan polis yang dibuat bukan bertujuan mencetuskan polemik politik, sebaliknya sebagai tanda hormat serta usaha mempertahankan kedaulatan institusi diraja yang menjadi tunjang kestabilan dan keharmonian negeri Johor.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Johor agar terus menghormati dan mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan sebagai simbol perpaduan dan kestabilan negeri.

“Daulat Tuanku. Institusi Raja Berperlembagaan wajib dihormati dan dipertahankan oleh seluruh rakyat Johor,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO