PRN: Mohd Sumali, Muka Baharu BN Sedia Galas Amanah Pertahan DUN Benut
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Mohd Sumali Reduan bertekad menggalas amanah yang diberikan kepimpinan Barisan Nasional (BN) selepas diumumkan sebagai calon parti bagi kerusi DUN Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mohd Sumali yang merupakan antara muka baharu diketengahkan BN bagi menghadapi PRN kali ini menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mewakili parti.
Beliau berkata, kepercayaan tersebut merupakan satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh komitmen demi memastikan kesinambungan perjuangan BN serta kebajikan rakyat di DUN Benut terus menjadi keutamaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kepercayaan untuk saya membawa amanah parti sebagai calon BN bagi kawasan DUN Benut.
“Insya-Allah, dengan kerjasama segenap jentera parti, kami di Benut akan berusaha mengekalkan BN terus mendapat mandat rakyat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kekuatan jentera parti di semua peringkat sebagai aset penting dalam menghadapi kempen PRN, selain yakin semangat kesatuan dan kerja berpasukan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan BN.
Mohd Sumali berkata, beliau komited untuk mendekati rakyat, mendengar denyut nadi masyarakat serta meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan yang telah dilaksanakan BN demi kesejahteraan penduduk DUN Benut. – UMNO Online
