UMNO Pulau Pinang Akan Laksana Agenda Zainal Abidin

NIBONG TEBAL, 28 Ogos – UMNO Pulau Pinang akan meneruskan beberapa agenda yang telah dirancang oleh bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu Datuk Seri Zainal Abidin Osman, namun belum sempat dilaksanakan Allahyarham.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata ada beberapa agenda yang sempat Allahyarham maklumkan kepada Badan Perhubungan UMNO negeri sebelum ini dan pihaknya akan berusaha melaksanakannya.

“Selain agenda yang dimaklumkan ada juga beberapa perancangan yang arwah tidak sempat beritahu kami, namun saya difahamkan beliau telah menyenaraikannya kepada pembantu beliau dan saya akan dapatkannya.

“Kami akan cuba laksanakan semua perancangan berkenaan kerana ia adalah untuk kepentingan rakyat Pulau Pinang terutama penduduk di Nibong Tebal,” katanya semalam.

Beliau turut hadir pada majlis pengebumian jenazah Zainal Abidin di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Acheh, di sini hari ini.

Zainal Abidin, 58, yang juga bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor pada 2.07 pagi ini akibat kanser berkaitan darah (multiple myeloma).

Musa berkata pemergian Zainal Abidin adalah satu kehilangan besar kepada Barisan Nasional dan UMNO Pulau Pinang kerana beliau merupakan seorang pejuang besar dalam parti berkenaan.

“Arwah bukan sahaja berkorban tenaga malah wang ringgit dalam UMNO Pulau Pinang bagi membantu apa sahaja terutama masalah rakyat. Kami ucapkan takziah kepada keluarga beliau. Kami semua sayang beliau tapi Allah lebih sayangkan dia,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Datin Seri Siti Syafiqa Amirol Melvin dan dua orang anak serta empat orang anak hasil perkahwinan pertama dengan Allahyarham Datin Shazarina Shamsuddin yang meninggal dunia pada 22 Dis 2010 akibat kanser hati.

Pada 6 Jun lepas, Zainal Abidin mengumumkan melepaskan jawatan sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.