PRK Balakong: Calon MCA Mahu Atasi Kesesakan Trafik Jika Diberi Mandat

BALAKONG, 27 Ogos – Mengatasi masalah kesesakan lalu-lintas di Balakong akan menjadi antara keutamaan calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Tan Chee Teong jika diberi mandat menjadi wakil rakyat pada 8 Sept ini.

Katanya masalah yang dialami penduduk kawasan berkenaan sejak 15 tahun lepas kini diburukkan lagi dengan keadaan permukaan jalan yang berlubang dan tidak sekata akibat kerancakan aktiviti komersial.

“Jika pengundi percaya untuk saya menjadi wakil rakyat mereka, saya jamin bahawa isu ini akan dibangkitkan di DUN supaya ia diatasi segera sebab masalah kesesakan paling ketara pada waktu puncak kerana terpaksa menampung kira-kira 50,000 pengguna.

“Kalau hendak buat jalan, mestilah secara holistik. Bukan mementingkan sebahagian kawasan saja. Pada saya, kepentingan rakyat mesti didauhulukan, bukan mahu undi mereka saja. Jika diberi mandat, saya akan pastikan kawasan Balakong terus menerima perhatian kerajaan,” katanya pada sidang media, semalam.

Sebagai anak setempat, beliau yakin antara langkah yang wajar dilakukan untuk mengatasi kesesakan lalu-lintas adalah membina jalan alternatif dengan menyambungkan Taman Cheras Jaya, Taming Jaya, Taman Ihsan Jaya hingga ke Balakong Jaya bagi menyuraikan trafik.

Tan berkata beliau juga akan memastikan jalan-jalan di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi diperluaskan untuk mengatasi masalah sama.

PRK Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.

Tan, 40, akan berhadapan calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki, 32.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.