MCA Sifatkan PRK Dun Balakong Isyarat Untuk Lebih Agresif Dekati Rakyat


BALAKONG, 27 Ogos – Pengarah PRK DUN Balakong parti itu, Datin Paduka Chiew Mei Fun berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong adalah sebagai peringatan kepada semua anggota MCA bahawa parti tersebut perlu lebih agresif mendekati rakyat.

“PRK ini adalah kali pertama MCA bertanding atas logo sendiri dan disebabkan sejak ditubuhkan parti itu sentiasa bekerjasama tanpa mengira kaum, maka ini adalah titik terbaik untuk mereka membuktikannya.

“Malah PRK ini juga disifatkan sebagai peringatan kepada semua anggota parti bahawa kita perlu lebih agresif mendekati rakyat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat MCA Bahagian Bangi, semalam.

Walaupun begitu, beliau mengakui agak sukar bagi mereka merampas kerusi DUN Balakong yang disandang wakil Pakatan Harapan (PH) pada PRK 8 Sept ini.

“Setakat sembilan hari berkempen, hampir 60 peratus kawasan di Balakong telah disantuni jentera parti serta calon MCA, Tan Chee Teong dan kita akan mempergiat lagi jelajah kempen hingga menjelang hari pengundian.”

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie daripada PH yang terlibat dalam kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.

Tan, 40, yang juga Anggota Jawatankuasa MCA Bangi (sebelum persempadanan semula MCA Serdang) berhadapan calon PH Wong Siew Ki, 32.

Pada PRU14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.