Kerajaan Baharu Perlu Pantau Data Supaya Inflasi Terkawal – Najib


KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kerajaan baharu perlu memantau data dengan teliti supaya peluang pekerjaan dapat dijana dan inflasi terkawal selepas pelaksanaan semula Cukai Jualan & Perkhidmatan (SST).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia juga supaya negara tidak jatuh ke dalam kemelesetan ataupun krisis ekonomi dalam jangka pendek seperti yang diramalkan oleh beberapa pakar ekonomi bank.

“Kadar inflasi untuk bulan Jun berada pada 0.8 peratus dan naik kepada 0.9 peratus bagi bulan Julai manakala inflasi makanan untuk bandar raya Kuala Lumpur sebanyak 3.5 peratus pada bulan Julai membuktikan harga barang-barang masih naik selepas cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan,” kata Najib dalam catatannya di laman Facebook beliausemalam.

“Walaupun saya hairan mengapa prestasi ekonomi telah bertukar hala dan merosot begini selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), adalah tidak adil untuk menilai prestasi kerajaan baru berdasarkan cuma 4 bulan sahaja tetapi sudah tentu dasar-dasar dalam dan luar negara kerajaan baharu ada kesannya,” katanya.

Menurutnya, pertumbuhan suku kedua keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara yang merosot daripada 5.4 peratus kepada 4.5 peratus adalah jauh di bawah kesemua unjuran pakar analisisi ekonomi.

Angka lebih rendah itu, katanya, kemungkinan kerana semua sektor ekonomi menunjukkan penurunan ekoran pembatalan beberapa projek namun ia diselamatkan oleh sektor permintaan dalam negara (penggunaan domestik) apabila GST yang disifarkan mengalakkan lebih banyak pengguna untuk membeli.

Menurutnya lagi, lebihan dagangan antarabangsa juga jatuh pada Mei dan Jun kepada RM6 bilion iaitu separuh daripada lebihan RM13 bilion pada April kerana jumlah import negara meningkat dengan ketara manakala pertumbuhan eksport menurun.

Pelaburan langsung asing (FDI) pada suku kedua turut susut kepada RM2.8 bilion daripada RM12 bilion pada suku pertama manakala pelaburan portfolio (iaitu saham dan bon) menunjukkan pengaliran keluar sebanyak RM38.3 bilion pada suku kedua berbanding pengaliran masuk sebanyak RM2.5 bilion pada suku pertama, katanya.

“Mata wang ringgit juga telah menyusut 25 sen kepada RM4.10 berbanding RM3.85 pada April sebelum pilihan raya,” kata Najib.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.