Najib Gesa Kerajaan Tubuh RCI Projek ECRL Dan Saluran Gas Paip Sabah

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan dua projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bagi menentukan sama ada terdapat salah laku.

Najib berkata rakyat berhak mengetahui jika keputusan membatalkan itu dibuat atas alasan yang munasabah serta kukuh dan tidak dibuat bersandarkan kepada kemarahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) atau terhadap kerajaan China yang tidak mahu tunduk dengan kemahuan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sehingga kesemua dokumen itu didedahkan, saya kecewa dan sedih bagi penduduk pantai timur Semenanjung kerana akan kehilangan pembangunan pemangkin kemajuan negeri mereka dan peluang untuk mereka meningkatkan taraf ekonomi sama seperti yang diperolehi penduduk di pantai barat,” katanya.

Najib berkata demikian dalam kenyataan beliau menerusi Facebook semalam mengulas pembatalan projek ECRL dan TSGP bernilai berbilion Ringgit yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatan ke China baru-baru ini.

“Saya tidak mahu memberi komen terhadap kenyataan ‘Najib adalah bodoh’ atau tidak sebagaimana dikeluarkan (Perdana Menteri) Tun Mahathir di China. Perjanjian projek-projek itu memang ada klausa penamatan (exit clauses).

Ini bukan macam perjanjian-perjanjian konsesi IPP ataupun tol jalan raya dari zaman Mahathir dulu di mana sehingga sekarang, kerajaan PH tidak dapat memenuhi janji untuk mansuhkan tol,” kata Najib.

Beliau turut berkata lebih baik untuk kerajaan PH mendedahkan kesemua perjanjian, kajian kebolehlaksanaan dan kajian impak ekonomi serta analisa manfaat kos, bagi melihat adakah baik atau sebaliknya untuk Malaysia meneruskan ketiga-tiga projek ini atau membatalkannya.

“Ini membolehkan rakyat untuk menilai sendiri,” kata Najib.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.