PRK Balakong: Calon MCA Janji Bawa Isu Tol Ke Sidang Dun Jika Menang

BALAKONG, 23 Ogos – Calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong, Tan Chee Teong mahu tol di beberapa kawasan di laluan keluar dan masuk DUN berkenaan dikurangkan harganya, sekiranya ia tidak dapat dihapuskan kerajaan dalam masa terdekat.

Beliau berkata penduduk di DUN berkenaan umpama terperangkap, kerana boleh dikatakan setiap perjalanan mereka perlu melalui maksimum enam tol di sekitar kawasan berkenaan..

“Ini termasuk tol di Batu 9, Batu 11, Besraya, Sungai Balak, Sungai Ramal dan Kajang Utama. “I will make an issue on this in sidang DUN to make it clear to abolish toll…jika tak boleh dimansuhkan it then please reduce it *(“Saya akan jadikannya satu isu dalam sidang DUN bagi menjelaskan agar tol dimansuhkan… jika tak boleh dimansuhkan tolong kurangkannya),” katanya kepada pemberita selepas meninjau perparitan dan longgokan sampah di Taman Seri Cheras di sini yang menyumbang kepada masalah denggi.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas menyaksikan Tan, 40, yang juga Anggota Jawatankuasa MCA Bangi (sebelum persempadanan semula MCA Serdang) berhadapan calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki, 32 tahun.

Mengenai isu denggi yang menyaksikan Selangor mencatatkan angka tertinggi, Tan berkata beliau merancang untuk mengkaji undang-undang di peringkat negeri untuk memperketatkan penguatkuasaan terhadap isu sampah sarap haram, selain menambah baik sistem perparitan.

“Saya juga akan lihat dana yang ada untuk buat semua perkara ini, sepatutnya duit reserve yang kerajaan ada bukan untuk simpanan tetapi digunakan secara efektif untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.