Masalah Teknikal Punca Saluran Air Bersih Bermasalah Di Chuping – MB Perlis

KANGAR, 23 Ogos – Isu bekalan air dihadapi lebih 500 penduduk di Chuping dekat sini berpunca daripada beberapa masalah teknikal antaranya pam janaan elektrik tidak diselenggara dengan baik, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata pam air pada tangki-tangki serta paip-paip yang sudah lama dan sering rosak adalah punca masalah air bersih tidak dapat disalurkan dengan baik sejak 30 tahun lalu.

“Kerajaan negeri sebelum ini sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM90 juta tahun lepas untuk membuat penyelenggaraan namun peruntukan itu kini dinilai semula di peringkat kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Beliau mengulas gesaan Anggota Dewan Undangan Negeri Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil yang mahu kerajaan negeri menangani segera isu bekalan air dihadapi penduduk-penduduk di Kampung Belukar Lenga, Sungai Buluh, Batu Bertangkup dan Baru di Chuping.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga dinasihatkan oleh Pengurusan Aset Air Berhad untuk menilai semula kadar tarif air pada masa ini yang didapati agak rendah.

“Hasil perolehan air ini adalah kecil berbanding kos perbelanjaan (penyelenggaraan) yang besar,” katanya.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.