Mohamad Seru Kerajaan Dan Rakyat Malaysia Bantu Turki

SEREMBAN, 17 Ogos – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama parti itu menzahirkan sokongan kepada Turki yang kini berdepan dengan krisis kewangan.

Beliau berkata ini termasuk menghulurkan bantuan yang akan mengukuhkan lagi semangat setia kawan dan hubungan antara dua negara di samping membantu Turki pimpinan Presiden Tayyip Erdogan mengharungi situasi getir tersebut dengan lebih baik.

“Meskipun Kuala Lumpur hanya secara rasmi menjalinkan hubungan diplomatik dengan Ankara pada 1962, hubungan dua hala Turki dan Malaysia telah terjalin lebih awal dari itu. Persahabatan yang terjalin antara dua negara ini menjangkaui hubungan ekonomi dan budaya malah mencakupi hal ehwal pendidikan, intelektual dan sosial.

“Sumbangan serta kedudukan Turki bukan sahaja besar, terlihat dan dihormati dalam dunia Islam. Malaysia dan Turki berkongsi banyak aspirasi dan hasrat yang sama untuk melihat dan menjadikan masyarakat Muslim lebih aman, maju dan moderat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata sejak beberapa minggu lalu lira Turki diserang teruk sehingga menyebabkan mata wang berkenaan kehilangan lebih suku daripada nilainya.

Ini katanya menyebabkan ketidakstabilan ekonomi domestik, sekali gus memberi kesan kepada kebanyakan rakyat negara berkenaan.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.