Berita Palsu : Ambil Iktibar Econsave Pontian Diserbu Penduduk

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengambil contoh apa yang berlaku di kawasannya, Pontian setelah berita tidak benar disebar menyebabkan pasaraya Econsave diserbu oleh rakyat.

Menurut beliau berita yang mengatakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan memberi bantuan di beberapa pasaraya menyebabkan penduduk memenuhi pasaraya tersebut.

“Sebenarnya tidak ada pun dan itu adalah contoh berita tidak benar dan rakyat berpusu-pusu ditipu oleh berita yang tidak benar ini.

“Kita ingin menjadikan Malaysia ini negara yang bertamadun…kita ingin jadikan Malaysia ini negara madani…kita ingin jadikan negara ini negara yang beretika dan jika akta ini dimansuhkan negara kita tidak akan beretika dan tidak bertamadun.

“Inikah ahli-ahli yang berhormat inginkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang – Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar ( Pemansuhan ) 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Tegas Ahmad Maslan segala-segalanya terletak di tangan ahli yang berhormat samaada mahu menjadikan negara ini terus tidak beretika dengan berita- berita palsu.

“Kita ingin negara ini menjadi lebih beradab dan lebih beretika. Itu sebab kita adakan Akta Antiberita Tidak Benar yang diwartakan pada 11 April 2018 yang lalu.

“Kita sepatutnya menjadi negara yang bertamadun yang beradab dan tidak suka kepada berita-berita palsu ini. Sekarang ini ditangan masing-masing ada satu senjata yang cukup berguna dan boleh juga menjadi senjata yang berbahaya iaitu handphone.

“Di dalamnya ada aplikasi yang cukup canggih, whatsapp yang ada beratus kumpulan dan kami di sebelah sini termasuklah saya sendiri telah dilatih supaya bercakap benar dan terus menyatakan kebenaran walaupun pahit,” ujarnya. -MediaUMNO