Sultan Kedah Titah Tidak Ganggu Gugat Hak Istimewa Melayu, Kedudukan Raja-raja dan Agama Islam

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menjunjung kasih atas nasihat Tuanku Sultan Kedah, Tuanku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah agar hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja Raja Melayu dan kedudukan Agama Islam sebagai agama rasmi tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Ketuanya Mohammad Fadzil Zolkifli berkata, titah ucapan Tuanku Sultan Kedah itu amat bertepatan dengan senario semasa yang amat mengusarkan orang Melayu.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Kedah.

“Titah Baginda juga menzahirkan bahawa Baginda memahami gelodak suara hati rakyat yang gelisah dengan suasana semasa dan sekiranya dibiarkan berlarutan maka ia akan menjejaskan perpaduan rakyat.

“Sehubungan itu Pemuda UMNO Kedah mendesak kerajaan negeri ini membawa perasaan rakyat yang gelisah kepada kerajaan pusat supaya apa yang berlaku sekarang tidak terus berlaku.

“Pemuda UMNO Kedah juga mendesak Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk berani menyuarakan perasaan kecewa rakyat di bawah kepada kepimpinan tertinggi parti berkenaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media, semalam.

Tambah Fadzil, sehingga kini tiada satu pun pendirian yang dinyatakan oleh Mukhriz tentang ganggu-gugat yang berlaku terhadap institusi di-Raja, hak keistimewaan orang Melayu dan tindakan mencemar kedudukan Agama Islam, begitu juga dengan tuntutan hak golongan LGBT.

“Kami mahu tahu dimanakah pendirian Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah dalam hal ini. Adakah beliau akan senada dengan kakaknya Marina dalam isu LGBT.

“Sama juga dengan Parti PPBM peringkat persekutuan yang bagaikan tidak peduli dengan suara rakyat apabila mengambil sikap tidak endah dengan tidak menguruskan kemarahan rakyat dalam berkaitan perkara ini.

“Kami Pemuda UMNO dengan ini menzahirkan akan terus mempertahankan kedudukan institusi Raja, mendukung perlembagaan negara dan mempertahankan hak istimewa orang Melayu dari terus dicemari,” ulas beliau lagi. – MediaUMNO