“Konsisten Tidak Mengiktiraf Transgender”… LGBT Bukan Amalan Dan Budaya Kita


KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Pemuda UMNO Malaysia menyokong penuh pendirian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang konsisten tidak mengiktiraf mahupun bersetuju dengan sebarang tindakan yang dipraktikkan oleh golongan “transgender”.

Exconya, Afif Farhi Othman menegaskan bahawa sebarang usaha mempromosikan budaya LGBT ini perlulah dihalang kerana ianya melawan arus sistem keagamaan dan kemanusiaan, mencemarkan budaya ketimuran dan akhlak, mengundang kepada keruntuhan institusi keluarga, penularan penyakit kelamin merbahaya dan terpesong dari kehendak normal manusia.

“Untuk kerajaan berdiam diri tanpa melakukan sesuatu bukanlah satu tindakan yang bijak. Rakyat seharusnya menyambut baik usaha “engagement” berterusan oleh pihak JAKIM di dalam memastikan golongan “transgender” ini dapat didekati bagi mengeluarkan mereka dari kancah industri seks dan kecelaruan akidah.

“Bimbingan ilmu agama yang dilaksanakan oleh JAKIM adalah usaha dakwah “bil hikmah” yang merupakan pendekatan terbaik dalam menyedarkan golongan ini,” katanya dalam satu kenyataaan balas terhadap menteri terbabit bertarikh 13 Ogos 2018.

Katanya, mengenai permohonan maaf yang dibuat oleh YB Menteri tentang respon spontan beliau semasa sidang media yang bersentuhan isu penggunaan tandas dan sebagainya yang sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan amatlah dihargai.

“Kesediaan YB Menteri memohon maaf merupakan cerminan semangat menjernihkan suasana bahawa di dalam isu yang bersentuhan aqidah, sistem budaya masyarakat dan keselamatan wanita ini perlu kita sama-sama lebih berhati-hati di dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan ketidak senangan masyarakat.

“Kami amat bersetuju agar sebarang bentuk kajian ilmiah mengenai diskriminasi terhadap golongan “transgender” ini dapat diketengahkan memandangkan data dan statistik kes-kes diskriminasi yang boleh dijadikan sandaran rujukan tidak pernah dibentangkan kepada umum.

“Kajian umum yang menyeluruh adalah penting dalam usaha mencari solusi masalah ummat ini.”

Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO turut menyeru agar semua pihak terlibat di dalam membendung gejala “transgender” ini daripada terus menular di dalam masyarakat bermula dari institusi keluarga, institusi pendidikan, persatuan-persatuan dan ngo-ngo serta setiap individu agar tidak berlaku pemerkosaan terhadap adat budaya bangsa serta percanggahan sistem sosial kita di negara Malaysia tercinta ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.