Kes 1MDB Akan Disiasat Semula Sekiranya Ada Usul Di Parlimen – Pengerusi PAC
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kes 1MDB hanya akan disiasat semula sekiranya terdapat usul yang dikemukakan di Parlimen.
Jelas beliau, PAC diwujudkan di bawah Parlimen dan kerana itulah sekiranya ada usul, sudah pasti kes 1MDB akan disiasat semula.
Selain itu ujar Ronald, PAC turut bersetuju dengan cadangan untuk menyiasat mengenai kehilangan wang bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang didedahkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini.
“Segala siasatan yang dilakukan oleh PAC akan dikembalikan kepada Parlimen dan jika ada usul sedemikian (menyiasat semula 1MDB), tentu sekali PAC akan membuat siasatan sebagaimana kebiasaannya.
“Di pihak kami juga kami sudah sependapat untuk menyiasat kehilangan wang yang dilaporkan di bawah ‘refund’ GST,” ujar beliau dalam satu sidang media di Parlimen selepas anggota-anggota PAC diberikan taklimat oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad.
Tambah Ronald, buat ini masih terlalu awal untuk jawatankuasa itu menentukan samada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipanggil di dalam penyiasatan semula 1MDB itu nanti ataupun tidak.
“Terlalu awal untuk kita tentukan siapa yang akan dipanggil kerana kita harus berpandukan kepada Terms of Reference (TOR) yang akan dibuat kelak dan strategi-strategi penyiasatan.
“Semua itu akan ditentukan kemudian,” katanya. – MediaUMNO