Kerajaan Perlu Rangka Strategi Kukuhkan Sektor Pembinaan Negara

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan perlu merangka strategi untuk menstabilkan dan mengukuhkan sektor pembinaan dalam negara.

Ini terutamanya dalam memastikan pertumbuhan syarikat-syarikat kecil dan sederhana mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara, kata Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan perlu memandang serius dakwaan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berhubung pembayaran yang masih belum dibuat kepada kontraktor bagi projek yang telah disiapkan.

“Kelewatan pembayaran ini sudah tentu akan menjejaskan aliran tunai syarikat kontraktor terlibat yang telah mengeluarkan belanja untuk menyiapkan projek-projek berkenaan dan mungkin meminjam daripada bank yang sudah pasti perlu dibayar balik,” katanya.

Mustapa turut mencadangkan bayaran tertunggak kepada kontraktor tersebut diselesaikan secepat mungkin dalam masa dua minggu, sekiranya dakwaan itu benar.

Sektor pembinaan menyumbang 4.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun lepas.

“Walaupun angka ini kecil jika dibandingkan dengan sektor lain seperti pembuatan dan perkhidmatan, namun sumbangan sektor ini adalah besar memandangkan lebih 100 industri mempunyai kaitan dengan sektor ini termasuklah industri bukan binaan,” katanya.