Lagi Jawapan ‘Akan Diteliti’ Atau ‘Akan Dikaji Semula Daripada Menteri PH

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Sidang Dewan Rakyat di bawah kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) nampaknya memperkenalkan satu cara jawapan paling popular iaitu ‘akan diteliti’ atau ‘akan dikaji semula’.

Sejak hari pertama lagi, inilah jawapan popular yang diberikan oleh Menteri dan Timbalan Menteri apabila diajukan soalan oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Semalam sekali lagi jawapan popular itu kedengaran dan ia diberikan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berhubung status terkini tol yang akan dimansuhkan bagi meringakan beban rakyat.

Menurut Jalaluddin, jawapan ‘akan diteliti’ atau ‘akan dikaji semula’ yang sering diberikan kerajaan PH tidak akan menyelesaikan masalah dan tidak menjawab soalan yang diajukan.

“Rakyat tunggu janji yang kerajaan PH buat untuk menghapuskan tol. Jika tak mampu nak buat pemansuhan secara keseluruhan, sekurang-kurangnya berikan penjelasan sejauh mana ‘engagement’ diantara kerajaan dan konsesi tol telah melakukan perbincangan.

“Apakah antara langkah lain yang dijalankan oleh kerajaan PH untuk menghapuskan tol. Bukan teliti dan kaji sahaja. Ini tak selesaikan masalah,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan ketika sesi soalan lisan.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan PH perlu memberi jawapan terhadap janji untuk menghapuskan tol ini dan jika ia tidak boleh dilaksanakan maka kerajaan PH perlu menarik balik janji tersebut.

“Jika janji ini tidak boleh dilakukan, tarik balik manifesto. Kalau tak boleh nak hapus semua, bagi rebat 50 peratus kepada pengguna, bukan hanya pada hari perayaan, tetapi juga sepanjang masa,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.