BN Mahu Urusan Rasmi Kekal Guna Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Barisan Nasional (BN) mahukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus memberi jaminan terhadap hak Melayu dan Bumiputera terus terbela.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dalam soalannya turut ingin tahu pendirian kerajaan terhadap laporan beberapa kementerian menggunakan Bahasa Mandarin dan Tamil dalam urusan rasmi.

Dalam hal tersebut, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa pendirian kerajaan untuk tetap mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi negara.

Katanya, perkara berhubung hak-hak Melayu dan Bumiputera serta penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang cadangan pindaan berhubung perkara tersebut hendaklah dirundingi dan mendapat persetujuan Majlis Raja-raja selaras kehendak Perkara 159 dan 38 Perlembagaan Persekutuan, sebelum ia boleh dilaksanakan.

Beliau, bagaimanapun berkata dalam keadaan tertentu terjemahan ke dalam bahasa lain seperti Bahasa Inggeris perlu dibuat bagi memberi penjelasan kepada mana-mana orang asing yang turut berada dalam sesuatu majlis rasmi itu.

“Perlembagaan kita telah memenuhi segala kehendak berkenaan perlindungan bahasa kebangsaan tetapi ada kalanya terjemahan dibuat dalam bahasa lain, namun yang rasmi ialah Bahasa Melayu kerana terjemahan bukan rasmi. Kalau tidak betul itu hal dia dan yang betul serta boleh dibawa ke mahkamah adalah yang ditulis dalam Bahasa Melayu.

“Kita perlu menentukan (mengambil kira) orang asing yang datang ke Malaysia yang tidak fasih Bahasa Melayu untuk memahami apa yang kita katakan. Sebab itu kadangkala ada menteri menggunakan Bahasa Inggeris atau Tamil atau Mandarin untuk jelaskan, tetapi penjelasan itu tidak dikira sebagai rasmi,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.