Isu LGBT : Puteri Selar Tekanan Terhadap Dr Ilyani Hanya Kerana Surat Terbuka Kepada Marina Mahathir

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata pihaknya simpati terhadap tekanan yang diterima oleh doktor perubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi berikutan ‘surat terbukanya’ baru-baru ini.

Menurut beliau kebebasan bersuara dilihat hanya terpakai kepada mereka yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan sahaja.

“Tindakan  doktor terbabit menegur anak Perdana Menteri, Marina Mahathir berkenaan isu LGBT menyebabkan ada pihak membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) dan akibatnya kemungkinan besar beliau akan dikenakan tindakan tatatertib.

“Kami menzahirkan rasa simpati terhadap beliau yang menerima tekanan hebat. Kebebasan bersuara sepatutnya terpakai kepada semua rakyat, bukan pihak penyokong kerajaan sahaja.

“Hari ini golongan LGBT mahu berkongsi tandas, adakah jika dilayan satu hari nanti mereka akan menuntut hak perkahwinan sesama jantina,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah pihaknya menghormati hak-hak kemanusiaan lain selagi ianya tidak melangar undang-undang.

“Kita hormati hak-hak kemanusiaan seperti pekerjaan, perniagaan, menerima kebajikan sekiranya layak dan lain lain selagi ia tidak melanggar undang undang. Tetapi tidak kepada hal-hal yang lebih besar.

“Menteri Agama Islam dan Kerajaan PH mesti lebih tegas pertahankan prinsip Islam seperti termaktub dalam perlembagaan dan tidak melayan permintaan kumpulan kecil golongan LGBT,” ujarnya. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.