Mustapa Gesa Siasat Segera Dakwaan RM19.4 Bilion Tuntutan GST “Dirompak”


KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menggesa kerajaan supaya segera menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kerajaan sebelum ini “merompak” RM19.4 bilion wang tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Mustapa, yang juga anggota Parlimen Jeli berkata dakwaan Lim itu merupakan tuduhan yang amat berat, bukan sahaja mencalarkan imej Barisan Nasional (BN), malah penjawat awam khususnya yang bertugas di Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Tuduhan ini amat serius kerana rompakan bermakna wujudnya salah guna kuasa dan penyelewengan yang terancang.

“Oleh kerana imej kerajaan terdahulu dan penjawat awam telah tercemar, di samping ia melibatkan kepentingan awam, saya berpendapat siasatan dalaman harus dimulakan dengan segera dan diberi tempoh satu minggu untuk disiapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selaku kerajaan yang bertanggungjawab, hasil siasatan dalaman itu perlu dikemukakan kepada umum.

“Dalam semangat ketelusan dan reformasi yang dijanjikan oleh kerajaan serta untuk berlaku adil kepada semua pihak, perkara ini kemudiannya wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara,” katanya.

Semasa berucap di Dewan Rakyat pada 7 dan 8 Ogos lepas, Lim mendakwa RM19.4 bilion wang tuntutan GST yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga telah “dirompak” oleh kerajaan BN terdahulu.

Peniaga tidak dibayar balik cukai input kerana wang tuntutan tersebut yang sepatutnya dimasukkan ke dalam Akaun Amanah telah dipindahkan kepada Akaun Disatukan, katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.