PRK Seri Setia, Balakong Serentak Pada 8 Sept – SPR

PUTRAJAYA, 8 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, di Selangor akan diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong pada 8 Sept depan.

Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood berkata hari penamaan calon dan hari mengundi awal juga akan berlangsung serentak iaitu masing-masing pada 18 Ogos dan 4 Sept.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan ialah 21 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga 11.59 malam 7 Sept,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas bagi PRK berkenaan di ibu pejabat SPR di sini, hari ini.

Beliau berkata SPR telah mengambil kira segala aspek termasuk keselamatan dan logistik sebelum memutuskan mengadakan kedua-dua PRK itu secara serentak.

Kali terakhir dua PRK dijalankan serentak ialah PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak pada 18 Jun 2016

Othman berkata Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK Seri Setia manakala Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi rasmi.

Beliau berkata seramai 895 petugas terlibat mengendalikan proses pilihan raya itu dan sebanyak 18 buah bangunan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 115 saluran mengundi.

“Sebanyak RM1.59 juta diperlukan bagi urusan pengendalian PRK ini,” katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser kolon pada 2 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, Shaharuddin daripada PKR mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas Dr S. Vignes dengan majoriti 19,372 undi.

Othman berkata daftar pemilih pilihan raya yang akan digunakan untuk PRK Seri Setia adalah sehingga suku pertama Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 2 Ogos 2018, menyaksikan seramai 53,492 pemilih berdaftar akan terlibat dalam proses pengundian.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 50,692 adalah pemilih biasa, 2,770 pemilih awal dan 30 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Katanya beberapa penambahbaikan turut dibuat pada PRK Seri Setia seperti menambah 24 saluran mengundi baharu di pusat-pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih yang ramai berbanding 91 saluran pada PRU14.

Beliau berkata jumlah petak undi di dalam tempat mengundi juga ditambah kepada tiga bagi mempercepat proses pengundian di saluran mengundi berbanding dua petak undi sebelum ini.

Selain itu pembaharuan yang dilaksanakan bagi PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lepas turut dilaksanakan untuk PRK Seri Setia dan Balakong iaitu dua saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun ke atas dan tempoh pengundian dilanjutkan dari 8 pagi hingga 5.30 petang, katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.