UMNO Sabah Tidak Goyah, Pegang Prinsip Perjuangan Dan Teruskan Khidmat Kepada Rakyat


KOTA KINABALU, 7 Ogos – UMNO sebagai pembangkang tetap terus berkhidmat kepada rakyat dan mempertahankan hak-hak serta kepentingan rakyat dan negeri Sabah, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pemimpin dan anggota UMNO Sabah kini terdiri daripada pejuang-pejuang yang bermaruah, ikhlas dan setia mendukung perjuangan UMNO dalam membela nasib rakyat.

“Anggota UMNO Sabah tidak goyah dan memegang prinsip  perjuangan UMNO yang sebenar. UMNO akan jadi pembangkang  yang berwibawa dan konstruktif.  Kita akan menjadi pemantau bagi rakyat”, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu yang pertama  dipengerusikan oleh Hajiji setelah dilantik sebagai pengerusi Perhubungan UMNO Sabah selepas pemilihan UMNO 2018.

Turut hadir ialah Setiausaha UMNO negeri Datuk Seri Masidi Manjun, Bendahari UMNO Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Anggota Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Sementara itu, Hajiji menyifatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang telah melompat dan bergabung dengan Warisan dan PKR ialah wakil rakyat yang tidak berprinsip.

“Mereka telah menghianati mandat yang telah diberikan oleh penyokong dan pengundi BN/UMNO. Hanya kerana  mengejar kepentingan peribadi dan juga jawatan, mereka meninggalkan BN/UMNO.Pembelot-pembelot ini pasti akan dihukum oleh pengundi mereka nanti”, tegasnya.

Hajiji turut mengumumkan pelantikan pengerusi biro-biro UMNO Sabah.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.