Tiada Kabinet Bayangan Pembangkang – Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tiada kabinet bayangan bagi blok pembangkang, namun setiap Anggota Parlimen yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan PAS diberikan tanggungjawab memfokuskan portfolio tertentu.

Pengerusi BN itu berkata, setiap Anggota Parlimen pembangkang diberi ruang untuk berbahas mengikut portfolio masing-masing yang sudah diagihkan sebelum ini.

“Ini telah kami berikan kepada semua Anggota Parlimen dan tentunya sebagaimana yang kita lihat,  setiap perbahasan menjurus kepada bidang masing-masing.

“Ini akan menyebabkan fokus diberikan kepada Anggota Parlimen tertentu untuk bahas dan membangkitkan perkara tertentu,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Jelasnya, setiap Anggota Parlimen juga diberikan kebebasan untuk menyentuh lain-lain perkara di dalam sidang Dewan Rakyat berdasarkan latar belakang mereka.

“Kita berjanji untuk menjadi pembangkang yang konstruktif dan mempunyai kewibawaan dari segi maklumat, latar belakang dan fakta yang diperolehi,” katanya.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.