Mustapa Mahu Tanding Jawatan MT UMNO

KOTA BHARU, 8 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed hanya mahu bertanding jawatan Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan menolak untuk merebut jawatan lain yang lebih tinggi termasuk timbalan atau presiden parti itu.

Mustapa berkata fokus beliau sekarang adalah untuk mempertahankan jawatan MT yang disandangnya itu pada pemilihan parti 30 Jun ini.

“Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi semangat kepada saya untuk bertanding jawatan tertinggi dalam parti tetapi saya tidak ada kemampuan fizikal, stamina dan kewangan untuk bertanding jawatan Presiden, bagaimana pun akan mempertimbangkan untuk bertanding jawatan MT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis makan colek anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di sini, malam tadi.

Mustapa berkata beliau masih belum berdaftar sebagai calon namun hasrat untuk bertanding jawatan MT sudah dimaklumkan kepada pemimpin UMNO di negeri lain bagi mendapatkan sokongan.

Mengenai cadangan supaya Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden UMNO, Mustapa berkata Tengku Razaleigh sendiri belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

“Kita akan bincangkan perkara ini dan akan selaraskan supaya ada calon dari Kelantan bertanding jawatan tertinggi UMNO.

“Calon Presiden nanti perlulah seorang tokoh yang berwibawa dan mampu menyatu padukan parti supaya lebih kukuh. Kita mahu UMNO bangkit lebih kuat dan jika memilih calon yang tidak berwibawa dan tokoh yang dipertikaikan, ia akan menjejaskan usaha untuk pulihkan parti,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.