Jalaluddin Alias Tawar Diri Bertanding MT UMNO

SEREMBAN, 8 Jun – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias menawarkan diri untuk bertanding jawatan Anggota Majlis Tertinggi dalam pemilihan UMNO, 30 Jun ini.

Jalaluddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu berkata keputusan itu dibuat demi kelangsungan perjuangan mempertahankan nasib agama, bangsa dan tanah air.

“Jika diberi mandat oleh anggota, saya sangat berkeyakinan akan dapat membantu parti dalam usaha untuk kembali bangkit selepas melalui episod hitam dan pahit kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Saya fikir, UMNO tidak boleh terlalu lama meratapi kekalahan yang menyebabkan hilangnya kuasa tampuk pemerintahan negara, sebaliknya perlu segera menyusun semula parti dan jenteranya bagi membolehkan institusi keramat ini terus relevan buat orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

Jalaluddin, 54, yang juga Anggota Parlimen Jelebu berkata UMNO tidak boleh terus dibayangi oleh imej dan persepsi negatif bersandarkan pelbagai faktor yang tidak adil dalam pertimbangan penghakiman kepada parti ini oleh majoriti pengundi dalam PRU14.

Sebaliknya, beliau berkata UMNO harus berani melakarkan imej baharu yang lebih disenangi dan diyakini oleh rakyat jelata, sekali gus memadamkan imej lama untuk ia disimpan dalam lipatan sejarah parti.

“Berbekalkan azam, tekad yang jitu serta pengalaman dalam parti, saya dengan ini merayu para perwakilan UMNO di seluruh negara untuk memberikan peluang dan kepercayaan kepada saya menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Sama-samalah kita pertahankan parti keramat kita yang telah begitu banyak menabur jasa dan budi kepada umat Melayu dan rakyat keseluruhannya selama ini,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.