Cadangan Hapuskan JAKIM Dan Tahfiz, Sarang Tebuan Jangan Cuba Dijolok – Mas Ermieyati


KUALA LUMPUR, 4 Jun – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin memberi amaran keras kepada mereka yang mahu mencadangkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ditutup dan pusat tahfiz pula dihapuskan.

Jelas beliau dalam status yang dimuat naik di laman twitternya, sekiranya perkara itu terjadi maka beliau akan menggerakkan ummah bagi menentang kezaliman terhadap institusi Islam di Malaysia ini.

“Selepas cadangan nak tutup Jakim, sekarang timbul cadangan mahu hapuskan pusat tahfiz. Kepada mereka saya nak cakap, buatlah kalau berani. Sarang tebuan jangan dijolok. Saya sanggup korbankan segalanya untuk gerakkan ummah supaya mereka menentang kezaliman terhadap institusi Islam di Malaysia ini,” ujar beliau.

Pada 2 Februari lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengeluarkan kenyataan ketika menjawab soalan wartawan berkaitan pendirian Pakatan Harapan (PH) mengenai cadangan pihak anti-Islam yang mahu menghapuskan Jakim, dengan berkata peranan Jakim akan dikaji semula sama ada diperlukan lagi atau tidak kerana tidak ada yang kekal.

Dakwaan bahawa Jakim ‘membazir wang pembayar cukai’ mula kedengaran apabila sekumpulan aktivis berfahaman liberal melihat setiap tahun Jakim diperuntukkan sejumlah besar peruntukan pengurusan dan pembangunan hanya semata-mata untuk merealisasikan aktiviti keagamaan.

Bagi mereka, persoalan agama bukanlah perkara yang perlu ditangani di peringkat kerajaan, ia adalah perkara yang bersifat peribadi dan bukan secara institusi kerana penginstitusian agama adalah satu langkah pembaziran.

Pada pandangan mereka, jika agama perlu diinstitusikan, ia mestilah dilaksanakan secara adil kepada semua agama, bukannya terhad kepada agama Islam. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.