ADUN Permas Jangan Jadi Punca Rosakkan PN Di Johor
KUALA LUMPUR, 30 April – Pemikir Johor Fikri Allaudin membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas Che Zakaria yang mempersoalkan perlantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG).
Jelas beliau, Che Zakaria bukanlah individu yang layak untuk mempertikaikan lantikan tersebut kerana selama dua tahun menjadi ADUN, beliau sendiri hanya bisu dan berdiam diri apabila YPG di bawah pemimpin Dap langsung tidak berfungsi untuk jaga kepentingan rakyat Pasir Gudang.
“Banyak program dan manfaat YPG yang langsung tidak sampai ke kawasan tertentu kerana Pengerusinya bersikap pilih bulu sebelum ini. Che Zakaria patut cermin diri dan lihat semula adakah beliau sebagai wakil rakyat kawasan sudah menjalankan tugas sebaiknya?
“Ketika Datuk Khaled Nordin dan UMNO Bahagian Pasir Gudang sibuk menguruskan barangan keperluan dapur sewaktu PKP, pemimpin PPBM seperti Che Zakaria lebih berminat bermain politik dari membantu rakyat. Jika Che Zakaria lihat YPG alternatif untuk selamatkan diri beliau dan kroni-kroninya yang kalah pemilihan parti sendiri baru-baru ini, beliau silap,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.
Tambah Fikri, Che Zakaria juga harus sedar bahawa menjadi Pengerusi YPG tiada peruntukan gaji maka atas keperluan apa beliau beria-ia mahu kerusi YPG. Jika sekadar mahu popular, beliau sudah tidak popular.
“Pengundi pun dia tidak kenal, menang hanya atas sentimen PH waktu itu dan terkini kalah pemilihan parti PPBM.
“YPG bukan untuk tunggangan politik Che Zakaria. Ia diasaskan dahulu bermatlamat untuk jaga kepentingan dan kebajikan rakyat Pasir Gudang jadi, berhentilah berpolitik kerana waktu ini rakyat lebih sibuk untuk menentang COVID-19,” tegas beliau. – UMNO ONLINE