Sokongan Ahli Parlimen Terhadap PM, Jangan Terlalu Cepat Buat Telahan – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyeru semua pihak agar tidak terlalu cepat membuat telahan atau konklusi, sebelum tiba masanya diperlukan berbuat demikian berhubung dengan sokongan mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri.

Katanya, UMNO komited untuk terus berjuang demi rakyat bersama rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan PAS serta semua parti di blok pembangkang.

“Saya berkali-kali ditanya para wartawan berhubung perkara ini, yang berlaku khamis lalu di Parlimen. Ia juga menimbulkan polemik kalangan pelbagai pihak,” kata dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian atas sebab berikut:

Pertama, kita menghormati pendirian Ahli Parlimen PAS yang disampaikan melalui Ketua Whip mereka YB Datuk Takiyudin Hassan sewaktu membahaskan Belanjawan 2020 khamis lepas. PAS tentunya punya alasan tersendiri dan berhak berbuat demikian.

Kedua, berikutan itu, enam orang ahli Parlimen UMNO telah mengadakan sidang media dan menyatakan pendirian/pandangan mereka menyokong YAB PM, meneruskan tugasnya sehingga tamat tempoh penggal.

Ketiga, berhubung perkara tersebut, seperti ditegaskan YB Presiden UMNO, tindakan 6 MP itu adalah bersifat pandangan peribadi masing-masing kerana UMNO belum membuat sebarang ketetapan mengenainya.

Keempat, buat masa ini UMNO belum berhasrat memutuskan sebarang ketetapan kerana ia di anggap masih terlalu “premature”. Soal peralihan kuasa PM ke-7 kepada PM ke-8 adalah urusan dalaman PH dan boleh ditentukan oleh 138 ahli Parlimen mereka.

Kelima – Hanya sekiranya PH gagal mencapai konsensus sesama mereka, barulah ujud keperluan blok pembangkang membuat pendirian. Bagi tujuan tersebut MKT akan berunding terlebih dahulu, parti komponen BN akan dirujuk dan PAS sebagai rakan Muafakat Nasional akan kita sepakati sebelum sebarang pendirian dibuat.

Kelima – Keputusan parti akan disampaikan kepada Ahli Parlimen BN melalui Ketua Whip BN, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Keenam – Insya-Allah, apa jua keputusan parti nanti ianya berupa keputusan “EN BLOC” dan akan di patuhi oleh semua Ahli Parlimen BN.

Ketujuh – Sebagai parti yang Bertanggungjawab dan pembangkang yang berwibawa, UMNO mengambil sikap menghormati Institusi Perdana Menteri, serta peranan Kerajaan Semasa dan mahukan kedua-duanya berfungsi denga baik dan mengutamakan kepentingan rakyat, agama, bangsa dan tanah air. – UMNO ONLINE

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit