Pemindahan, Penstrukturan Semula Zoo Negara Wajar Dipertimbangkan
KUALA LUMPUR, 23 Nov – Pemindahan dan penstrukturan semula Zoo Negara wajar dipertimbangkan, kata Naib Ketua UMNO Bahagian Ampang, Ahmad Izwan Hamzah.
Ini kerana katanya, Hulu Kelang kini semakin terhimpit dengan kepesatan pembangunan bandar dan mengehadkan potensi pengembangan habitat semula jadi yang lebih selesa.

“Lokasi sedia ada di Hulu Kelang kini semakin terhimpit dengan kepesatan pembangunan bandar di sekelilingnya. Kekangan ruang fizikal bukan sahaja mengehadkan potensi pengembangan habitat semula jadi yang lebih selesa bagi haiwan, malah menjejaskan pengalaman pengunjung secara keseluruhan.
“Sudah tiba masanya untuk kita melangkah ke hadapan dengan visi yang lebih progresif demi kelestarian ekosistem hidupan liar dan daya saing sektor pelancongan negara.
“Zoo Negara, sebagai mercu tanda pemuliharaan dan warisan kebanggaan Malaysia sejak sekian lama memerlukan satu transformasi menyeluruh melalui pengenalpastian tapak baharu yang lebih luas, moden, dan mampan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Tambahnya, pemindahan Zoo Negara ke kawasan baharu merupakan satu keperluan mendesak berdasarkan faktor peluasan habitat, pemulihan bertaraf dunia dan untuk menyelesaikan isu parkir serta aksesibiliti.
“Justeru, langkah pemindahan ke kawasan baharu yang lebih luas merupakan satu keperluan mendesak berlandaskan beberapa faktor utama. Pertama, peluasan habitat dan pemuliharaan bertaraf dunia.
“Kawasan yang lebih luas membolehkan pembangunan konsep ‘open-concept’ zoo atau taman safari yang menyerupai habitat asal. Ini menjamin kebajikan serta kesihatan mental haiwan di samping memperkukuh peranan Zoo Negara sebagai pusat penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti serantau.
“Kedua, sebagai langkah penyelesaian kepada isu parkir dan aksesibiliti. Kekurangan petak parkir di tapak sedia ada sering menjadi rungutan utama pengunjung, terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
“Lokasi baharu perlu direka bentuk dengan pelan induk pengurusan trafik yang efisien, menyediakan kemudahan parkir bertingkat yang mencukupi, serta integrasi terus dengan jaringan pengangkutan awam,” katanya lagi.

Selain itu, beliau berpandangan bahawa pemindahan tersebut mampu mengurangkan kesesakan lalulintas dan menjadi pemangkin kepada pelancongan serta ekonomi baharu.
“Kedudukan semasa yang berhampiran dengan laluan utama ibu kota sering menyumbang kepada kesesakan trafik yang meruncing. Penempatan semula ke kawasan yang mempunyai akses lebuh raya yang lebih lancar akan menyuraikan aliran trafik, sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk setempat dan pelancong.
“Dengan fasiliti berteknologi tinggi, elemen interaktif digital dan tarikan eko-pelancongan yang segar, Zoo Negara yang baharu mampu menjadi magnet pelancongan bertaraf antarabangsa. Ini secara tidak langsung akan merancakkan ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan baharu,” katanya lagi. – UMNO Online
