UMNO Rakam Takziah Atas Pemergian Mantan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara
KUALA LUMPUR, 23 November – UMNO merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad, mantan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara yang juga mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berasa pilu menerima khabar duka mengenai pemergian Allahyarham yang telah kembali ke rahmatullah.

Beliau turut berkesempatan menziarahi jenazah Allahyarham di kediaman keluarganya bagi memberikan penghormatan terakhir, semalam.
“Pilu hati saya tatkala menerima khabar duka pemergian Allahyarham Datuk Seri Haji Abdul Halim bin Abd Samad, mantan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara yang juga merupakan mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang telah kembali ke rahmatullah.
“Saya turut berkesempatan menziarahi jenazah Allahyarham di kediaman keluarganya. Ramai yang saya lihat hadir untuk menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menzahirkan rasa simpati kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Beliau turut mengajak seluruh umat Islam mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya serta menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. – UMNO Online
