Utamakan Rakyat, Serah Keputusan Kerusi Kepada Parti – Johan

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz menegaskan kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan tersebut menjadi keutamaan pada ketika ini khususnya dalam menangani isu banjir.

Ini kerana katanya, beliau mengambil maklum kenyataan Pengerusi Dap Selangor, Ng Sze Han yang berhasrat untuk bertanding di kerusi DUN Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya ambil maklum kenyataan Pengerusi Dap Selangor. Namun, soal pembahagian kerusi bagi PRN akan datang bukan perkara yang perlu diputuskan secara sebelah pihak. Perkara ini tertakluk kepada perbincangan dan keputusan kepimpinan parti-parti dalam gabungan.

“Keutamaan saya ketika ini adalah kebajikan dan kepentingan rakyat Dusun Tua; khususnya dalam menangani permasalahan banjir yang sekian lama menjadi antara isu utama di kawasan Hulu Langat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menegaskan bahawa beliau akan akur dengan segala keputusan yang ditetapkan oleh parti termasuklah dalam isu pembahagian kerusi.

“Saya mahu memastikan setiap usaha yang telah dimulakan dan setiap perancangan sedang berjalan dapat diteruskan sehingga mencapai penyelesaian. Amanah yang diberikan kepada saya akan dilaksanakan sebaik mungkin sehingga tamat penggal ini.

“Dalam soal politik dan hala tuju parti, saya berdiri teguh bersama keputusan kepimpinan. Apa jua keputusan yang ditetapkan oleh parti, itulah yang akan saya akur dan laksanakan,” katanya.

Pada Ahad media melaporkan Dap Selangor mahu bertanding semula di DUN Dusun Tua pada PRN akan datang selepas memberi laluan kepada UMNO pada PRN 2023.

Ng Sze Han berkata parti itu bukan saja berhasrat meletakkan calon, malah sudah memulakan persiapan dengan melantik Naib Pengerusi Dap merangkap Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan ADUN Balakong, Wayne Ong sebagai penyelaras parti di Dusun Tua.

Menurutnya, jentera pilihan raya Dap di Dusun Tua akan bergerak di bawah pimpinan dua penyelaras itu dan beliau meminta semua ahli parti di Hulu Langat membuat persiapan mulai sekarang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO