Ahmad Zahid Doakan 420,898 Calon SPM 2026 Dipermudahkan Urusan
KUALA LUMPUR, 23 November – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan agar segala urusan 420,898 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang memulakan peperiksaan hari ini dipermudahkan dan memperoleh keputusan membanggakan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, setiap calon perlu menghadapi peperiksaan dengan hati yang tenang dan penuh keyakinan selain memanfaatkan segala ilmu serta persediaan yang telah dilakukan.

“Hadapilah setiap kertas peperiksaan dengan hati yang tenang dan penuh keyakinan. Percayalah pada kemampuan diri, manfaatkan segala ilmu yang telah dipelajari dan berikan yang terbaik dalam setiap jawapan,” katanya menerusi ucapan selamat menduduki peperiksaan SPM 2026.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan calon supaya menjaga kesihatan, mendapatkan rehat secukupnya serta memohon restu dan doa daripada ibu bapa serta guru-guru.
Beliau turut menzahirkan harapan agar segala usaha dan pengorbanan calon sepanjang tempoh persediaan membuahkan hasil yang membanggakan.
“Saya mendoakan semoga segala urusan anakanda semua dipermudahkan dan setiap usaha yang telah dicurahkan membuahkan hasil yang membanggakan. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
