Jalinan Kasih Sekampung Bangsa Johor Dekati Rakyat, Perkukuh Komuniti

KULAI, 23 Nov – Program Jalinan Kasih Sekampung Bangsa Johor 2026 bagi Zon Hutan Bandar di Kawasan Lapang Perumahan Helang, Bandar Putra, Kulai menjadi platform mendekatkan kerajaan dengan rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan, kemudahan perkhidmatan serta aktiviti kemasyarakatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pendekatan turun padang seperti itu penting bagi memastikan keperluan dan permasalahan penduduk dapat didengar secara langsung, selain membolehkan manfaat inisiatif kerajaan disampaikan kepada kumpulan sasar.

“Kita mahu rakyat merasai sendiri kehadiran kerajaan dalam kehidupan seharian mereka. Bukan sekadar melalui pembangunan, tetapi juga menerusi usaha menjaga kebajikan keluarga, membantu peniaga kecil dan memastikan masyarakat mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan yang diperlukan.

“Program seperti ini juga membuka ruang untuk kita mendengar pandangan penduduk, memahami keperluan setempat dan mencari penyelesaian secara bersama,” katanya selepas program berkenaan, semalam.

Program itu turut menghimpunkan penduduk pelbagai kaum dan generasi dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan, sekali gus menyemarakkan semangat muafakat serta mengeratkan hubungan komuniti setempat.

Antara pengisian program ialah penyempurnaan simbolik penyerahan Kit Kasih PTPTN dan Kembara Kasih Simpan SSPN Tahun 2026, selain sumbangan peralatan perniagaan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada penjaja Santai Malam Kulai.

Menurut Mohd Jafni, bantuan sedemikian bukan sahaja menyokong persediaan pendidikan anak-anak, malah membantu peniaga kecil memperkukuh perniagaan dan meningkatkan sumber pendapatan keluarga.

“Kita perlu melihat kebajikan rakyat secara menyeluruh. Pendidikan anak-anak perlu diberi perhatian, manakala peniaga kecil juga memerlukan sokongan supaya mereka dapat terus menjana pendapatan dan menyara keluarga. Inilah antara perkara yang perlu kita usahakan agar manfaat pembangunan ekonomi Johor dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.”

Dalam usaha memudahkan urusan penduduk, pelbagai agensi turut menyediakan kaunter perkhidmatan termasuk Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), BSN, PTPTN, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Komitmen memperkukuh hubungan masyarakat turut diteruskan menerusi Belanjawan Johor 2027 apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan RM16 juta bagi Program Raya Sekampung, melibatkan 667 kampung sempena Hari Raya Aidilfitri, 123 kampung sempena Tahun Baharu Cina dan 10 kampung sempena Deepavali.

Mohd Jafni berkata, usaha memperkukuh kebersamaan masyarakat perlu berjalan seiring dengan pembangunan ekonomi negeri supaya kemakmuran Johor dapat dinikmati secara bersama tanpa mengira latar belakang kaum dan generasi.

“Kita mahu setiap keluarga mempunyai peluang untuk meningkatkan taraf hidup, anak-anak mendapat masa depan pendidikan yang lebih baik dan peniaga kecil terus berkembang. Pada masa sama, hubungan masyarakat perlu terus dipelihara kerana perpaduan dan semangat saling membantu merupakan asas kepada kesejahteraan Bangsa Johor.

“Insya-Allah, kita akan terus turun padang, mendengar suara rakyat dan memperkukuh kerjasama dengan semua agensi supaya setiap usaha yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai, Tuan Haji Muhammad Shahril Azizi Abd. Gapar; Ahli Majlis MPKu, Puan Hajah Nurul Nadia Ab Azis; Pengarah BSN Johor, Encik Mohd Zulkarnain Ismail; Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Zainal Abidin Jidin; serta Pengurus Jualan PTPTN, Puan Najihah Hashim. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO