Konvoi Jelajah Geng Biru Meriah, Anak Muda Semarak Kempen Terakhir
JASIN, 13 Nov – Suasana menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok semakin terasa apabila Konvoi Jelajah Geng Biru Merlimau berlangsung meriah dengan penyertaan calon Barisan Nasional (BN) DUN Merlimau, Datuk Dr Akmal Saleh bersama lautan biru penyokong dan jentera parti.
Jelajah terakhir kempen menerusi konvoi bermotosikal itu bukan sahaja menghimpunkan jentera dan pendokong BN, malah turut menarik penyertaan masyarakat setempat khususnya golongan anak muda yang bersama-sama menyertai konvoi sambil mengibarkan bendera BN.

Bermula di Drag Racing Merlimau, konvoi yang diketuai Akmal itu bergerak menuju ke checkpoint kedua di Pekan Merlimau sebelum meneruskan perjalanan melalui beberapa laluan yang telah ditetapkan, sekali gus berakhir di perkarangan pasar malam.
Sepanjang perjalanan, pelbagai gelagat dan suasana menarik dapat disaksikan apabila deretan motosikal memenuhi laluan, diselang-seli kibaran bendera serta sorakan peserta yang memeriahkan suasana menjelang detik penentuan esok.
Menariknya, konvoi berkenaan turut disertai rakan kerjasama daripada Perikatan Nasional (PN), memperlihatkan penyertaan pelbagai pihak dalam program jelajah tersebut.

Kemeriahan yang terpancar sepanjang konvoi itu menjadi antara warna-warni hari-hari terakhir kempen PRN Melaka, ketika calon dan jentera parti masing-masing melengkapkan gerak kerja sebelum rakyat keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Esok menjadi hari penentuan apabila rakyat Melaka bakal membuat pilihan untuk menentukan barisan kepimpinan yang akan menerajui kerajaan negeri bagi tempoh akan datang.
Selepas berakhirnya kempen, segala keputusan kini terletak di tangan pengundi untuk menentukan pilihan masing-masing dan melihatkan suasana terkini tidak mustahil Gelombang Biru bakal mewarnai keputusan malam esok.Selamat mengundi untuk seluruh pengundi Melaka. – UMNO Online
