‘Perpecahan Orang Melayu Hanya Untungkan Pihak Lain’

MASJID TANAH, 13 Nov – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menegaskan penyatuan orang Melayu penting bagi memperkukuh kedudukan serta mempertahankan hak golongan itu daripada terus terhakis.

Beliau berkata, ini kerana perpecahan hanya membuka ruang kepada pihak lain untuk mengukuhkan pengaruh dan kedudukan mereka.

“Dap boleh mencuba pelbagai perkara kerana mereka sebuah parti yang sah. Dalam perlembagaan parti mereka menyebut hendak menjadikan Malaysia ini negara ini seperti dalam buku mereka.

“Biarlah Dap hendak jaja-jaja apa pun tetapi yang penting kaum Bumiputera mesti bersatu untuk memperkukuh dan mempertahankan hak-hak kita.

Apabila kita kuat, mereka juga tidak akan mudah menjadi kuat. Masalahnya sekarang, kita yang tidak kuat menyebabkan mereka semakin kuat. Itu sahaja.

Mengulas peluang Dap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Azhar secara peribadi berpandangan parti itu berkemungkinan memenangi beberapa kerusi.

“Secara peribadi, saya juga yakin Dap berkemungkinan memenangi satu atau dua kerusi, khususnya di kawasan bandar. Mereka mungkin menang,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan isu berkaitan undang-undang yang dibangkitkan dalam kempen sebagai cubaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Mereka hanya memainkan isu untuk menakut-nakutkan rakyat, termasuk menggambarkan kononnya kita mencampuri urusan undang-undang atau cuba melepaskan seseorang.

“Perkara itu tidak berlaku. Apabila undang-undang sudah menetapkan sesuatu keputusan, kita perlu mengikutinya. Jika undang-undang menetapkan seseorang itu perlu dipenjarakan, maka terimalah hukuman tersebut.

“Jika menang, maka menanglah. Jika tidak menang, kita terima keputusan mahkamah. UMNO merupakan parti yang menjunjung Rukun Negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO