PRN Melaka: Hishammuddin Optimis Momentum BN
JASIN, 13 Nov – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan momentum kempen Barisan Nasional (BN) menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 esok berada pada tahap lebih baik.
Beliau berkata, dalam baki tempoh berkempen yang semakin singkat, jentera parti perlu memberi tumpuan kepada dua perkara utama bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN di seluruh negeri itu.

“Pertamanya, pengundi-pengundi putih kita dapat keluar mengundi awal. Keduanya, pastikan bahawa apa yang telah pun dibawa selama ini dalam masa kempen ini, tidak ada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan atau mengeruhkan keadaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu beliau beramah mesra dengan masyarakat setempat bersama calon BN DUN Merlimau, Datuk Dr Akmal Saleh selesai solat Jumaat di Masjid Merlimau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kehadirannya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau bukanlah satu kebetulan, sebaliknya bertujuan memastikan calon BN bagi kerusi berkenaan yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti lebih besar.
Pada PRN Melaka 2021, Dr Muhamad Akmal memenangi kerusi DUN Merlimau dengan majoriti 3,248 undi.
Mengulas kepimpinan Dr Muhamad Akmal, Hishammuddin yang pernah menerajui Pergerakan Pemuda UMNO mengakui tanggungjawab mengemudi sayap parti itu bukan sesuatu yang mudah, namun penyandang kerusi Merlimau itu telah membuktikan ketokohannya melalui prinsip, integriti, keberanian dan konsistensi,” ujarnya. – UMNO Online
