MenterI DAP Wajar Ikut Jejak Anthony Loke, Pertahan Prinsip – Mohd Rafi

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berpandangan bahawa semua menteri dan timbalan menteri daripada DAP sewajarnya mengambil pendirian yang sama seperti Anthony Loke sekiranya tindakan meletakkan jawatan itu merupakan pendirian rasmi parti berkenaan.

Beliau berkata, prinsip dan maruah perlu dipertahankan oleh setiap pemimpin, tanpa mengira kedudukan atau kepentingan politik masing-masing.

“Saya amat menghormati ketegasan Anthony Loke dalam mempertahankan pendiriannya. Sekiranya pendirian itu merupakan pendirian rasmi DAP, para menteri dan timbalan menteri daripada parti itu sewajarnya mengambil langkah yang sama dengan meletakkan jawatan.

“Prinsip dan maruah mesti dipertahankan walau apa pun keadaannya,” katanya.

Menurut Mohd Rafi, hasrat pemimpin DAP untuk meletakkan jawatan bukanlah perkara baharu kerana perkara seumpama itu
pernah dibangkitkan sebelum ini, termasuk selepas kekalahan teruk parti berkenaan di Sabah.

Katanya, perkara sama turut berulang ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan apabila terdapat pemimpin DAP menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan.

Beliau berkata, dalam landskap politik negara hari ini, rakyat semakin menilai pemimpin berdasarkan tindakan dan keberanian mereka mempertahankan prinsip, bukan sekadar kenyataan yang dibuat kepada umum.

“Apabila seorang pemimpin mengetepikan prinsip demi mempertahankan kedudukan, kepercayaan rakyat akan terhakis dan rasa hormat terhadap pemimpin tersebut juga boleh hilang.

“Keteguhan prinsip seseorang pemimpin sebenarnya diuji apabila berdepan keputusan yang sukar, bukannya ketika keadaan memihak kepadanya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rafi menegaskan bahawa mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) merupakan satu amanah besar yang perlu dihormati dan dipertahankan.

Jelasnya, setiap pemimpin yang menerima mandat rakyat mempunyai tanggungjawab untuk berpegang teguh kepada komitmen serta prinsip yang telah dijanjikan kepada rakyat.

“Mandat rakyat bukan sekadar keistimewaan untuk memegang jawatan, sebaliknya satu amanah yang menuntut tanggungjawab, integriti dan keberanian membuat keputusan berlandaskan prinsip,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO