Kembalikan Mandat Kepada Rakyat, Teruskan Pembangunan Melaka

ALOR GAJAH, 13 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menegaskan mandat rakyat perlu dikembalikan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menerajui Melaka, kerana BN menawarkan rekod pencapaian serta kesinambungan pentadbiran kepada rakyat.

Beliau berkata, rakyat telah diberikan peluang menilai prestasi kerajaan berdasarkan pencapaian dan pelaksanaan tanggungjawab sepanjang tempoh pentadbiran, bukannya sekadar bergantung kepada janji yang belum tentu dapat ditunaikan.

Menurutnya, pendekatan BN adalah membuktikan kemampuan melaksanakan apa yang dijanjikan, selain memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Pendekatan Barisan Nasional sekarang ialah ‘we prove that we can deliver’. Kita serahkan mandat kepada rakyat untuk menilai dan membuat pilihan berdasarkan apa yang telah kita buktikan.

“Kita tidak menjanjikan sesuatu, tetapi kita tetap berusaha memberikan hasil yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Neon Fun Run anjuran Persatuan Belia 4B dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Alor Gajah, malam tadi.

Mengulas lanjut, Norliza berkata kestabilan politik amat penting dalam memastikan pentadbiran negeri dapat meneruskan agenda pembangunan, khususnya melibatkan kebajikan rakyat, pendidikan, keselamatan, ekonomi dan kemasukan pelaburan.

Katanya, kepimpinan kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Melaka bersama barisan Exco telah melaksanakan pelbagai usaha pembangunan yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat.

“Saya sangat berharap rakyat Melaka dapat membuat pertimbangan dengan melihat pencapaian dan rekod pentadbiran yang telah ditunjukkan selama ini.

“Kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan mempunyai pengalaman serta rekod dalam menjaga kebajikan rakyat, pendidikan, keselamatan dan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pilihan yang dibuat dalam pilihan raya akan menentukan hala tuju negeri untuk tempoh seterusnya, justeru rakyat perlu menilai setiap tawaran dan kemampuan parti yang bertanding.

Esok, sebanyak 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran disediakan di seluruh negeri ini, yang akan dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang.

Dalam pada itu, Norliza yang juga Pengerusi PTPTN berkata program Neon Fun Run yang menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta turut menjadi platform mendekati masyarakat menerusi aktiviti riadah kekeluargaan dan promosi produk simpanan pendidikan PTPTN.

Beliau berkata pendekatan turun padang itu membolehkan masyarakat mendapat maklumat secara langsung mengenai produk dan kemudahan yang ditawarkan PTPTN, selain mengeratkan hubungan antara agensi, NGO dan komuniti setempat.

Tambahnya, penglibatan beliau dalam program kemasyarakatan itu turut memberi peluang untuk melihat sendiri suasana dan perkembangan politik semasa di Melaka, khususnya menjelang pilihan raya negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO