Jangan Ugut BN… Bubarkan Sahaja Parlimen – Hasmuni

PANTAI KUNDOR, 13 Nov – Kenyataan Gobind Singh Deo dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membangkitkan desakan supaya Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan Kabinet meletakkan jawatan disifatkan sebagai tidak konsisten sekiranya mereka sendiri tidak bersedia menghadapi kemungkinan pembubaran Parlimen.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata, jika benar Anwar dan Gobind berpendirian bahawa Zahid serta wakil Menteri dan Timbalan Menteri dari Barisan Nasional (BN) tidak lagi diperlukan dalam kerajaan, jalan terbaik adalah dengan memberikan mandat semula kepada rakyat melalui pembubaran Parlimen, bukannya terus mengeluarkan desakan supaya pemimpin BN berundur.

“Kalau betul tidak mahu Datuk Seri Zahid Hamidi dan barisan Kabinet yang turut dianggotai wakil BN, tidak perlu lagi bermain dengan desakan supaya mereka meletakkan jawatan. Bubarkan sahaja Parlimen.

“Semalam Anwar menyatakan keberaniannya untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat. Kalau benar-benar berani, silakan bubarkan Parlimen. Malah, sepatutnya perkara itu dilakukan lebih awal dan tidak perlu menunggu sehingga hari ini,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Mengulas lanjut Hasmuni yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu menegaskan bahawa BN bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan tidak gentar sekiranya terpaksa berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum akan datang.

“BN bersedia untuk bertempur dengan PH pada bila-bila masa sahaja. Kita tidak perlu gentar dengan sebarang cabaran politik kerana soal mandat kerajaan sepatutnya diserahkan kepada rakyat untuk ditentukan melalui pilihan raya.

“Rakyat berhak menilai dan menentukan bentuk kerajaan yang mereka mahukan. Kita bersedia menghadapi apa jua kemungkinan, termasuk pembubaran Parlimen dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Tegasnya, kerajaan yang terbaik adalah BN bersama dengan rakan strategik baharu Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO