Kekal Positif Hadapi Cabaran Saat Akhir Kempen – Mustafa

ALOR GAJAH, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa yakin momentum kempen yang semakin positif mampu membantu parti mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, berkata perkembangan itu dapat dilihat menerusi penerimaan masyarakat sepanjang aktiviti kempen.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana nampaknya penerimaan dan momentum semakin baik.

“Daripada reaksi masyarakat dan penerimaan ketika saya mengadakan walkabout, ceramah dan sebagainya, terdapat peningkatan berbanding minggu-minggu awal.

“Saya berharap momentum ini berterusan dan BN menang di Durian Tunggal,” katanya.

Mustafa berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan ramah mesra dan minum petang bersama bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Bukit Tambun, Durian Tunggal.

Mengulas kemungkinan berlakunya sabotaj atau perkara negatif pada penghujung kempen, Mustafa berkata perkara itu bersifat subjektif.

Namun beliau memilih untuk kekal positif sepanjang menghadapi cabaran sebagai calon.

“Kalau nak berlaku sabotaj itu di hari-hari akhir pun akan berlaku juga. Sebagai orang yang bertanding, saya sentiasa berfikiran positif dan bersangka baik.

“Apa juga cabaran yang saya lalui hanya ada dua pilihan sahaja iaitu menang atau kalah. Dalam pilihan raya tidak akan ada seri. Jadi di akhir perjuangan ini berdasarkan pada penerimaan pengundi, sama ada peroleh kejayaan atau tewas.

“Tetapi harapan saya supaya BN diberi peluang di Durian Tunggal untuk mempertahankan kerusi ini dan menyumbang satu kerusi untuk pembentukan kerajaan negeri,” ujar beliau.

Untuk rekod penyandang Datuk Zahari Khalil daripada BN, pada PRN 2021 memenangi kerusi tersebut selepas meraih 3,663 undi dengan majoriti 559, dalam pertembungan empat penjuru.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO