Pengundi Melaka Buatlah Pilihan Bijak, Beri Mandat Kepada BN

MELAKA, 13 Nov – Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin menyeru seluruh pengundi di Melaka supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian esok, dengan membuat pilihan bijak demi memastikan kesinambungan pembangunan negeri.

Beliau berkata, pemilihan kerajaan negeri merupakan keputusan penting kerana ia bukan sahaja menentukan kepimpinan, malah mencorakkan hala tuju pembangunan dan kesejahteraan rakyat untuk tempoh akan datang.

Menurutnya, pengundi perlu menilai keupayaan serta rekod prestasi parti yang bertanding sebelum menentukan pilihan, termasuk melihat visi dan perancangan yang digariskan menerusi manifesto masing-masing.

“Pada hari Sabtu ini sangat penting kerana kita nak memilih kerajaan untuk memastikan negeri kita kekal membangun.

“Pengundi sendiri boleh membuat kajian dan penilaian terhadap rekod parti, kepimpinannya serta apa yang dicatatkan dalam manifesto supaya keputusan yang dibuat benar-benar berdasarkan keyakinan dan pertimbangan yang bijaksana,” katanya.

Sri Rahayu berkata, Barisan Nasional (BN) merupakan pilihan yang wajar dipertimbangkan berdasarkan pengalaman serta rekod pencapaiannya dalam membangunkan negara dan negeri, termasuk aspek ekonomi, pendidikan serta kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat Melaka memberikan mandat kepada BN bagi memastikan usaha pembangunan dan khidmat kepada rakyat dapat diteruskan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera BN negeri yang dipimpin Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas segala usaha dan kerja pembangunan yang dilaksanakan.

Beliau turut memuji komitmen jentera Wanita UMNO serta rakan-rakan dari negeri lain yang turun membantu kempen bagi memberikan sokongan dan semangat kepada calon serta jentera BN di Melaka.

Katanya, beliau bersama rakan-rakan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak turut hadir ke Melaka bagi membantu memberikan sokongan kepada sahabat dan rakan seperjuangan sepanjang tempoh berkempen.

“Saya berharap Barisan Nasional mendapat mandat di Melaka bagi menjamin kemajuan negeri dan juga negara.

“Jadi, saya menyeru semua pengundi supaya keluar mengundi dan memilih Barisan Nasional. Kita geng biru,” katanya.

Esok, sebanyak 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran disediakan di seluruh negeri ini, yang akan dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan sebanyak 675,166 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat untuk mengisi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO