Pesara Polis Puji Kepimpinan, Tindakan Pantas Helmy
MELAKA, 13 Nov – Kepimpinan prihatin serta tindakan pantas dalam menangani isu komuniti menjadi antara faktor utama yang mendorong seorang pesara polis di sini memuji prestasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy sepanjang penggal perkhidmatannya yang lalu.
Masrul Riyadi, 65, yang menetap di kawasan perumahan di Duyong sejak tahun 1992 berkata, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian peribadinya sebagai penduduk setempat, wakil rakyat berkenaan sentiasa mengutamakan kebajikan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di kawasan itu.
Menurut Masrul yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden persatuan penduduk di tamannya, kelebihan ketara Mohd Noor Helmy adalah kecekapannya mengeluarkan arahan dan menyalurkan aduan penduduk tanpa berlengah.

“Kalau ada masalah sedikit pun, saya akan terus berhubung dengan YB (Datuk Mohd Noor Helmy) dan beliau akan terus mengeluarkan arahan pada hari yang sama, bukan tangguh esok atau lusa.
“Sebagai contoh, jika berlaku paip bocor, beliau akan segera memanjangkannya kepada pihak berkaitan dan tidak sampai dua atau tiga jam, tindakan sudah diambil. Kepantasan bertindak inilah yang membuatkan penduduk di sini berasa selesa,” katanya dalam satu temu bual bersama UMNO-Online.
Mengulas lanjut dari sudut keselamatan berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Ketua Polis Balai Kandang dan Ketua Polis Banda Hilir, Masrul turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat wakil rakyat itu bersama pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani isu keselamatan setempat.
Beliau berkata, antara kejayaan yang memberi impak positif kepada penduduk ialah operasi bersepadu membanteras kewujudan penempatan haram dan masalah kecurian di kawasan Semabok sebelum ini, yang menurutnya kini sekitar 90 peratus berjaya dikawal.
Selain itu, Masrul menyifatkan pendekatan Mohd Noor Helmy dalam menangani gejala sosial remaja sebagai sangat teliti kerana sentiasa mencari punca sebenar sesuatu permasalahan di peringkat akar umbi.
Mengimbas kembali insiden kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal remaja akibat lumba haram di Lebuh AMJ suatu ketika dahulu, beliau berkata wakil rakyat itu mengambil inisiatif mengadakan pertemuan khas bersama ibu bapa di masjid, surau serta kawasan perumahan bagi mencari jalan penyelesaian.
“Beliau suka bertanya dan berbincang dengan penduduk mengenai punca anak-anak terjebak dengan masalah sosial. Melalui sesi perjumpaan itu, kita dapat memberi kesedaran sivik kepada ibu bapa tentang tanggungjawab mengawal kunci motosikal serta pergerakan anak masing-masing, selain risiko dikenakan tindakan saman sekiranya anak bawah umur menunggang tanpa lesen.
“Hasil pendekatan bersama ini, gejala lumba haram dan kes kecurian motosikal di kawasan ini berjaya dikurangkan dengan ketara sejak awal tahun 2020-an,” ujarnya.
Sehubungan itu, Masrul berpandangan bahawa kepimpinan Mohd Noor Helmy yang disifatkannya sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan cintakan keamanan wajar dikekalkan demi kesinambungan kesejahteraan penduduk di DUN Duyong.- UMNO Online
