Kurang 24 Jam, Wanita BN Perhebat Serangan Di Tiga DUN – Hisham Suhaily

PANTAI KUNDUR, 13 Nov – Wanita Barisan Nasional (BN) terus memperhebat gerak kerja kempen menjelang hari terakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan memberi tumpuan khusus membantu kemenangan calon wanita di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Pantai Kundor, Pengkalan Batu dan Rim.

Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Hisham Suhaily Othman berkata, seluruh jentera Wanita BN kini menggandakan usaha turun padang, khususnya dalam tempoh kurang 24 jam terakhir sebelum kempen berakhir, bagi memastikan calon-calon yang diketengahkan memperoleh sokongan rakyat.

Beliau yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia berkata, ramai anggota jentera Wanita BN telah berkampung di Pantai Kundor dan Pengkalan Batu bagi membantu kempen calon wanita, selain terus memperkukuh sokongan terhadap keseluruhan calon BN di negeri itu.

“Insya-Allah, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangkan bukan sahaja calon wanita, malah keseluruhan calon BN yang bertanding di semua DUN di Melaka.

“Wanita BN melalui Jalinan Rakyat (JR) sememangnya bergerak setiap hari dengan ramai anggota turun padang mendekati penduduk. Kita berharap segala usaha ini diterjemahkan kepada sokongan dan seterusnya undi pada hari Sabtu nanti.

“Perkembangan di lapangan turut memperlihatkan sokongan rakyat yang semakin memberangsangkan, sekali gus menyuntik semangat kepada jentera Wanita BN untuk terus bekerja sehingga ke saat akhir,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Hisham yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi menjelaskan, kerjasama dengan rakan strategik daripada Perikatan Nasional (PN) turut berjalan dengan baik menerusi pelbagai pendekatan termasuk kempen dari rumah ke rumah serta program Zikir Munajat yang melibatkan Wanita UMNO dan Muslimat Pas.

“Wanita UMNO dan Muslimat PAS dapat bersama-sama bekerja dengan penuh kemesraan. Kita turun membantu kempen calon masing-masing, termasuk calon PN, manakala rakan-rakan PN turut membantu calon BN.

“Itulah keserasian yang kita mahukan. Kita saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain. Memang “ngam,” katanya lagi.

Terdahulu, Skuad Sayang 3K Kebangsaan bersama Skuad Profesional Wanita UMNO Malaysia mengadakan program ziarah kesihatan dengan mengunjungi beberapa pesakit di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundur.

Program berkenaan turut disertai Dr. Masliha Harun dan Dr Farid yang memberikan khidmat kaunseling kesihatan, pemeriksaan tekanan darah serta nasihat berkaitan penjagaan kesihatan kepada pesakit yang diziarahi.

Kunjungan itu turut memberi ruang kepada kedua-dua skuad berkenaan mendekati pesakit terlantar dan golongan orang kurang upaya (OKU) bagi mengenal pasti keperluan serta permasalahan yang dihadapi penduduk setempat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO