PRN Melaka: Pengundi Perlu Nilai Prestasi, Bukan Isu Nasional – Aznan

MELAKA, 12 Nov – Pengundi di negeri diseru supaya menilai prestasi dan pencapaian kerajaan negeri sebelum membuat keputusan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, sambutan masyarakat terhadap Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh kempen amat positif berdasarkan maklum balas yang diterima ketika beliau turun bertemu pengundi.

Menurutnya, prestasi kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri bersama barisan Exco turut memberi impak positif kepada rakyat menerusi pelbagai perkara yang telah dilaksanakan dan diselesaikan.

Beliau berharap maklum balas positif itu diterjemahkan kepada sokongan terhadap BN bagi memastikan kerajaan negeri sedia ada terus diberi mandat untuk memimpin Melaka.

Mengulas isu nasional yang dibangkitkan dalam kempen saat akhir, termasuk isu Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berharap pengundi tidak terpengaruh sehingga mengetepikan kepentingan pilihan raya negeri.

“Saya harap pihak pengundi yang terpengaruh dengan perkara tersebut fikirkan bahawa undi ini adalah untuk negeri Melaka, bukan untuk negara Malaysia.

“Undi ini adalah untuk negeri Melaka supaya mereka faham apa yang mereka akan keluar nanti pada hari Sabtu ini untuk menentukan kerajaan negeri Melaka, bukan menentukan kerajaan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pengundi atas pagar supaya tidak ragu-ragu untuk membuat pilihan dengan menilai prestasi kerajaan yang telah mentadbir sebelum ini.

“Kepada yang atas pagar, jangan ragu-ragu, jangan was-was, percaya pada apa yang dah terjadi sebelum ini. Yakin bahawa kerajaan yang ada pasti akan memimpin lebih baik selepas ini, insya-Allah,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO