Henti Gertak UMNO-BN, Biar Rakyat Tentukan Mandat – Megat Zulkarnain
TANJUNG BIDARA, 12 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan pelantikan dan rombakan Kabinet merupakan hak prerogatif Perdana Menteri, justeru perkara itu tidak seharusnya dijadikan ruang untuk mengeluarkan ugutan atau tekanan terhadap kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan barisan Kabinet termasuk pelantikan Timbalan Perdana Menteri, menteri serta timbalan menteri mengikut pertimbangannya sendiri.

Jelasnya, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya mandat dikembalikan kepada rakyat merupakan reaksi terhadap suara-suara yang dilihat cuba memberi tekanan dan menggertak kepimpinan UMNO serta BN dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya percaya apa yang disampaikan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu adalah lebih baik daripada terus menggertak, mengugut, mengancam untuk memecat atau menggantikan menteri.
“Kita faham bahawa kuasa prerogatif dan hak mutlak seorang Perdana Menteri adalah untuk menentukan barisan Kabinet. Beliau boleh melantik sesiapa sahaja, daripada Timbalan Perdana Menteri hinggalah kepada timbalan menteri. Itu hak mutlak Perdana Menteri.
“Jadi, daripada terus berlaku gertakan dan ugutan terhadap pihak-pihak tertentu, saya percaya apa yang disampaikan oleh Presiden UMNO ialah lebih baik kita pulangkan kuasa ini kepada rakyat untuk memilih sama ada kerajaan baharu atau kerajaan sedia ada bagi mentadbir negara. Tak perlulah terus berlaku rombakan Kabinet. Sampai bila masalah seperti ini hendak diselesaikan,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Dalam perkembangan lain, Megat Zulkarnain yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak, mengingatkan seluruh jentera BN Selangor supaya tidak terlalu yakin menjelang hari pengundian yang berbaki dua hari lagi, sebaliknya terus mempergiatkan usaha memastikan kemenangan parti pada PRN.

“Jangan sesekali kita merasakan terlalu yakin kerana apabila keyakinan itu keterlaluan, saya bimbang ia akan melemahkan dan memperlahankan gerak kerja jentera.
“Saya sudah mengingatkan semua jentera bahawa setiap satu undi amat penting untuk kita dekati. Selebihnya, kita perlu memastikan mereka keluar mengundi pada hari pengundian nanti.
“One vote counts. Jangan kerana kita terlalu yakin berdasarkan perkiraan di atas kertas, akhirnya gerak kerja kita menjadi perlahan,” katanya lagi.
Seterusnya beliau harap, seluruh jentera perlu mengekalkan disiplin, momentum dan kesungguhan sehingga tamat tempoh berkempen bagi memastikan setiap peluang mendapatkan sokongan pengundi dimanfaatkan sepenuhnya. – UMNO Online
