Kekalkan Mandat BN, Teruskan Agenda Hab TVET Negara Di Melaka

MELAKA, 11 Nov – Hasrat menjadikan Melaka sebagai hab Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) negara menjadi antara agenda yang mahu diteruskan sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) terus diberikan mandat mentadbir negeri itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, iltizam itu bertujuan melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang menjadi rebutan industri, bukan sekadar menghasilkan graduan.

Menurutnya, kadar kebolehpasaran graduan TVET dan universiti di Melaka mencecah antara 95 hingga 98.8 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

“Angka ini menjadi pembakar semangat untuk kita meneruskan iltizam menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) negara jika Barisan Nasional dan Perikatan Nasional terus diberikan mandat mentadbir negeri ini,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Beliau berkata, usaha itu turut melibatkan pengukuhan hubungan antara institusi TVET dengan industri bagi memastikan latihan yang ditawarkan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Katanya, anak-anak Melaka perlu diberikan peluang menguasai kemahiran masa depan, memperoleh pekerjaan berkualiti dan menikmati pendapatan lebih baik tanpa perlu merantau jauh untuk membina kehidupan.

“Cita-cita saya jelas. Anak Melaka tidak perlu merantau jauh untuk mencari masa depan. Kita bina peluang itu di bumi Melaka sendiri!

“Belajar di Melaka, Bekerja di Melaka, Berjaya di Melaka!” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO