Kerajaan Putus LPT3 Dilaksana Secara Penswastaan
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Kerajaan telah memutuskan supaya projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dilaksanakan secara penswastaan dengan kaedah Kerjasama Awam-Swasta (PPP).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kementerian telah melaksanakan kajian awalan untuk menilai kesesuaian pembangunan LPT3 dengan mengambil kira pelbagai aspek.

“Untuk makluman, Kementerian Kerja Raya prihatin terhadap keperluan pembangunan LPT3 yang akan melengkapkan rangkaian Lebuhraya Pantai Timur sedia ada, iaitu LPT1 dan LPT2.
“Pembangunan lebuh raya ini bertujuan menyediakan jaringan perhubungan yang lebih selesa dan efisien, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara tiga buah negeri di Pantai Timur, iaitu Pahang, Terengganu serta Kelantan.
“Sehubungan itu, Kementerian telah melaksanakan kajian awalan untuk menilai kesesuaian pembangunan LPT3 dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk aliran trafik, sosioekonomi, alam sekitar, teknikal dan kejuruteraan.
“Kajian ini bertujuan mengenal pasti jajaran yang paling sesuai dan berdaya maju dengan mengambil kira kepentingan pengguna serta impak terhadap kawasan yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan jajaran cadangan LPT3 adalah bermula dari Kampung Gemuruh, Terengganu dan berakhir di Tunjong, Kelantan.
“Dari aspek teknikal dan kejuruteraan, pemilihan jajaran turut mengambil kira faktor keselamatan, kesesuaian tapak pembinaan, risiko bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh, keadaan geologi serta kestabilan tanah.
“Pertimbangan ini penting bagi memastikan pembangunan lebuh raya dapat dilaksanakan dengan selamat, mampan dan meminimumkan risiko terhadap pengguna serta persekitaran.
“Berdasarkan hasil kajian awal tersebut, jajaran cadangan LPT3 yang telah dikenal pasti bermula dari Kampung Gemuruh, Terengganu dan berakhir di Tunjong, Kelantan dengan anggaran panjang keseluruhan jajaran ialah 122 kilometer,” katanya lagi.
Tambahnya, pelaksanaan LPT3 secara penswastaan itu bakal melibatkan kaedah bidaan bersaing dan kos pembangunan ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan telah memutuskan supaya cadangan pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 dilaksanakan secara penswastaan dengan kaedah PPP. Cadangan ini bakal melibatkan kaedah bidaan bersaing atau RFP dan kos pembangunan LPT3 ini ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya.
“Selaras dengan itu, Kementerian Kerja Raya telah pun mengemukakan Pernyataan Keperluan Projek atau Statement of Needs (SON), kepada Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS JPM) untuk tujuan penyediaan dokumen RFP serta seterusnya untuk cadangan ini diangkat kepada pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.
“Status semasa cadangan projek LPT3 masih di peringkat penyediaan dokumen RFP oleh pihak UKAS JPM,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan sedang memberi fokus untuk memastikan kelancaran penyiapan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) pada ketika ini.
“Buat masa ini, fokus utama kerajaan adalah untuk memastikan kelancaran penyiapan projek Lebuhraya LTU dan Lebuhraya KBKK supaya dapat dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
“Penyiapan projek-projek ini amat penting bagi melengkapkan jaringan perhubungan yang strategik serta memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya di Pantai Timur,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
